PETALING JAYA: Gagal meraih kemenangan dalam dua perlawanan terakhir, Sri Pahang berharap Abdul Malik Mat Ariff dan Manuel Hidalgo kembali mempamer sentuhan magis untuk mengutip tiga mata apabila menerima kunjungan Petaling Jaya (PJ City) di Kuantan malam ini.
Menduduki tangga ketiga tercorot, Pahang perlu mengutip sebanyak mungkin mata dalam baki saingan untuk mengelak tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
Anak-anak buah Dollah Salleh seri 2-2 dalam aksi terakhir menentang Sabah, Rabu lalu dan diikat 1-1 oleh Melaka United pada 25 Julai.
Tidak rela keciciran mata lagi, Dollah menyeru pemainnya agar mengelak daripada melakukan kesilapan pada minit akhir yang boleh mengundang padah.
“Kalau nak cakap pasal prestasi, mereka semakin mantap cuma macam biasa kita sentiasa cuai dan leka pada minit-minit akhir.
“Kali ini saya harap mereka dapat kekalkan prestasi terutama gandingan depan Malik dan Hidalgo.
“Kalau kita tengok perlawanan sebelum ini, pergerakan daripada mereka menghidupkan pasukan.
“Selepas beberapa perlawanan beraksi bersama, saya percaya kedua-duanya akan dapat beri lebih lagi untuk menewaskan PJ City FC,” katanya.
Sri Pahang kini masih merehatkan pemain tengahnya Abubakar Yakubu yang mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Melaka.
Satu lagi aksi tumpuan malam ini, pastinya pertemuan Terengganu FC yang akan menentang Sabah di laman sendiri.
Masih dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Melaka United pada aksi terakhir, anak-anak buah Nafuzi Zain perlu memburu sebanyak mungkin mata pada baki saingan jika berhasrat untuk menyekat penguasaan Johor Darul Ta’zim (JD) di kedudukan teratas liga.