TOKYO: Kontinjen New Zealand tidak akan menghadiri upacara pembukaan Sukan Paralimpik 2020 malam ini kerana bimbang dengan keselamatan berikutan peningkatan kes Covid-19 di Tokyo.
Sebanyak 161 kes Covid-19 dikaitkan dengan Paralimpik setakat ini, sebahagian besar melibatkan kakitangan dan kontraktor yang menetap di Jepun, selain enam atlet.
Menurut kontinjen New Zealand, atlet mereka tidak akan mengambil bahagian dalam upacara perasmian ketika kebiasaannya dua pembawa bendera mengetuai pasukan di Stadium Olimpik.
“Pasukan kami tidak akan menghadiri upacara pembukaan ketika kami berusaha mengekalkan komitmen mematuhi peraturan Covid-19 , yang menyasarkan pasukan kami sentiasa selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sepanjang pandemik ini, New Zealand melaksanakan strategi ‘sifar Covid’ yang berjaya mencatatkan hanya 26 kematian daripada lima juta penduduknya. – AFP