KOTA BHARU: Pengendali Kelantan United, Nazrulerwan Makmor berang dengan persembahan pemainnya selepas dipaksa seri 2-2 oleh Selangor FC II dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.
Tanpa berselindung Nazrulerwan mendedahkan sikap sambil lewa yang diperagakan oleh barisan pemain menjadi ‘penyumbang’ kepada keputusan tersebut sekaligus menyaksikan The Green Deers terlepas peluang memburu kedudukan terbaik dalam carta Liga.
“Saya tidak boleh terima keputusan ini sebab kita bermain dengan pasukan yang rata-rata dibarisi oleh pemain muda.
“Walaupun kita mendahului (2-0), tapi kita (pemain) ambil sikap sambil lewa dengan melakukan kesilapan-kesilapan mudah sehingga membenarkan pelawat menjaringkan gol,” katanya.
Nazrulerwan memberitahu, dua jaringan yang diperolehi pelawat secara jujurnya merupakan satu ‘hukuman’ buat skuad kendaliannya itu.
Katanya, sikap mudah hilang fokus turut menjadi penyumbang kepada situasi itu sehingga menyaksikan Kelantan United ‘terlucut’ peluang meraih tiga mata.
“Saya harap keputusan ini menjadi ‘pengajaran’ berguna buat barisan pemain. Kita tidak lagi boleh leka selepas ini, sebaliknya perlu bangkit untuk perlawanan berikutnya.
“Saya mahu pemain kembali fokus untuk baki perlawanan berikutnya. Saya telah mengenalpasti kelemahan yang ada dan KUFC akan terus berjuang dengan sebaik mungkin selepas ini,” ujarnya.
Pada perlawanan itu, KUFC membuka tirai jaringan pada minit ke-33 menerusi Muhammad Zafuan Azeman dan Gassama Alfusainie di minit ke-54.
Ketika KUFC berkira-kira meraih tiga mata dilaman sendiri, Alexander Ameyaw dan T. Saravanan menjadi watak pemusnah apabila masing-masing meledakan jaringan penyemaan pada minit ke-70 dan 82 untuk mengikat keputusan menjadi 2-2.
Selepas mengharungi 15 perlawanan, skuad The Green Deers kini menghuni tangga keenam dalam carta liga dengan mengumpul 20 mata.