PETALING JAYA: Selepas impian meraih pingat dalam terjun lebur, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merica berharap harapan terakhir yang disandarkan kepada Datuk Azizulhasni Awang serta Shah Firdaus Sahrom mampu memberi keceriaan.
Katanya, Azizulhasni melaungkan keyakinan untuk menyumbangkan pingat, dan Reezal menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan perjuangan dua pelumba negara itu berakhir dengan kejayaan.
Katanya, dalam Sukan Olimpik apa saja boleh berlaku, mungkin penamat 1-2 buat Malaysia dalam saingan keirin, mungkin kekecewaan atau sekurang-kurangnya sebutir pingat.
“Ada dua hari lagi sebelum Olimpik kali ini melabuhan tirai. Kita bersyukur kerana sudah mendapat sebutir gangsa menerusi badminton (Aaron Chiah-Soh Wooi Yik, beregu campuran).
“Namun, acara terjun yang menjadi prospek pingat gagal mencapai sasaran biarpun ada beberapa keputusan baik seperti Nur Dhabitah Sabri (tempat keempat 3 meter papan anjal individu).
“Apa pun kita masih ada Azizulhasni dan Shah Firadus, satu-satunya harapan untuk meneruskan perjuangan (keirin). Kita doakan mudah-mudahan mereka berjaya melakukan kejutan.
“Semalam (kelmarin) saya ada berbual dengan Azizul dan Shah Firdaus, mereka berazam menyumbang pingat untuk negara,” kata Reezal Merican.
Malaysia hadir ke Tokyo bersama sasaran membawa pulang tiga pingat, termasuk sebutir emas.
“Begitupun, misi itu tampak sukar kecuali ada kejutan mampu dilakukan Azizulhasni dan Shah Firdaus di Velodrom Izu hari ini apabila keirin memulakan kempen.
Kata Reezal Merican, beliau hanya akan melakukan rangkuman prestasi keseluruhan kontinjen negara di Tokyo 2020 dan perancangan masa depan sejurus saingan keirin berakhir esok.
Pada Sukan Olimpik Rio 2016, Malaysia pulang bersama empat pingat perak dan satu gangsa.