PETALING JAYA: Selepas Olimpik, doa seluruh rakyat Malaysia kini ditagih 22 atlet istimewa negara yang bertarung dalam Sukan Paralimpik 2020, yang membuka tirai secara rasmi semalam.
Turun dengan giliran ke-139 daripada 161 delegasi dalam perbarisan masuk di Stadium Olimpik Tokyo, jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan atlet olahraga, Siti Noor Iasah Ariffin ditugaskan sebagai pembawa Jalur Gemilang.
Seramai 4,508 atlet seluruh dunia menyertai temasya kali ini, yang tertunda selama setahun susulan pandemik Covid-19.
Dengan misi mengulangi pencapaian di Rio lima tahun lalu iaitu meraih tiga pingat emas, kontinjen negara yang menggalas cabaran dalam sembilan jenis sukan dilihat sudah bersedia untuk memperagakan aksi mereka.
Edisi lalu, emas disumbangkan Ziyad Zolkefli dalam lontar peluru, Latif Romli (lompat jauh) dan Ridzuan Puzi (pecut 100 meter), manakala gangsa diraih Siti Radiah Ismail (lompat jauh wanita).
Bagaimanapun bagi temasya kali ini, lima atlet dengan dua daripadanya, Ziyad dan Latif; selain pemain badminton, Cheah Leik Hou; atlet memanah, S. Suresh dan Bonnie, diletak sebagai sandaran utama bagi merealisasikan sasaran tiga emas.
Sebagai rekod, Malaysia yang mengambil bahagian pada Sukan Paralimpik sejak 1972 dan sudah mengumpul 11 pingat iaitu tiga emas, dua perak dan enam gangsa.
Pada edisi lalu, China dinobat sebagai juara keseluruhan selepas membawa pulang 107 emas 81 perak 51 gangsa, diikuti Great Britain (64-39-44) dan Ukraine (41-37-39).
Sementara itu, masih segar dengan kejayaan memenangi pingat perak di Olimpik Tokyo awal bulan ini, Datuk Azizulhasni Awang meniupkan kata-kata semangat buat atlet para negara.
“Marilah sama-sama kita memberikan sokongan padu kepada wira dan wirawati kita di Sukan Paralimpik 2020 Tokyo.
“Kepada semua rakan atlet Paralimpik, saya ingin ucapkan semoga berjaya, buat yang terbaik dan kami di Malaysia akan mendoakan kejayaan anda semua di sana. Ganbatte pasukan para Malaysia,” katanya menerusi laman sosial.