BARCELONA: Lionel Messi akan meninggalkan Barcelona selepas gergasi bola sepak Sepanyol itu gagal memberikan kontrak baharu kepadanya atas kekangan kewangan.
Perkara itu diumumkan Barcelona dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di web serta media sosial mereka hari ini.
“Pada awalnya, FC Barcelona dan Lionel Messi telah mencapai kesepakatan untuk perjanjian kontrak baharu hari ini, namun ia tidak terjadi kerana halangan kewangan dan struktur (peraturan La Liga).
“Disebabkan situasi itu, Messi tidak akan kekal di Barcelona. Kedua-dua pihak amat kesal kerana keinginan pemain dan kelab tidak dapat dipenuhi.
“FC Barcelona dengan sepenuh hati mengucapkan terima kasih kepada pemain itu (Messi) atas sumbangannya terhadap peningkatan kelab dan mengucapkan yang terbaik kepadanya pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Messi, 34, sebelum dilaporkan akan memeterai kontrak baharu selama lima tahun yang menyaksikan gajinya dijangka dikurangkan 50 peratus.
Selepas 21 tahun bersama Barcelona, Messi yang bergelar ejen bebas sejak 1 Julai lalu telah meledak 672 gol dalam 778 penampilan (semua pertandingan), selain memenangi 31 kejuaraan utama.