TOKYO: Raja pecut baharu, Lamont Marcell Jacobs percaya, tindakan menjejaki semula bapanya adalah faktor yang membawa dia mengecapi kejayaan di Sukan Olimpik 2020.
Mendedahkan kepada umum selepas merangkul pingat emas 100 meter di Stadium Olimpik, Tokyo kelmarin, Jacobs berkata, buat kali pertama dia bercakap dengan bapanya, Marcell Jacobs Sr. tahun lalu.
Pelari berusia 27 tahun dari Itali itu dilahirkan di El Paso, Texas, namun ibu bapanya berpisah ketika dia berusia enam bulan.
Jacobs kemudian berpindah ke Itali bersama ibunya, Viviani Masini ketika masih bayi, manakala bapanya kekal berada di Texas, Amerika Syarikat (AS).
“Saya menjalani hidup ini tanpa seorang ayah. Dan ketika semua orang bertanya, siapa ayah kamu? (Saya berkata) Saya tidak tahu…saya tidak tahu.
“Dan kemudian kami berusaha untuk mula menjalin hubungan yang baharu dengannya. Bagi saya, itu sangat penting.
“Saya belum pernah berjumpa bapa saya (sejak ibu bapa bercerai), namun saya mula bercakap dengannya tahun lalu buat pertama kali,” kata Jacobs.
Kata Jacobs, menjalinkan semula hubungan baik dengan bapanya telah membantu dia lebih tenang dan bersemangat ketika tiba di Olimpik Tokyo.
“Ya, dia juga menyaksikan perlumbaan tadi (kelmarin).
“Dia sempat menghantar pesanan kepada saya sebelum berlumba (dengan berkata) ‘anda boleh lakukan, kami sentiasa bersama anda’.
“Saya bekerja keras untuk mentaliti yang bagus ini kerana apabila saya tiba di sini dalam pertandingan berprestij, kaki saya selalu tidak begitu bagus.
“Sekarang kaki saya sangat baik ketika saya berada pentas terbesar,” katanya. – AGENSI