LONDON: Gary Neville tidak faham mengapa Manchester United tidak menandatangani Harry Kane dalam usaha mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
United berbelanja besar untuk membawa masuk Jadon Sancho (Borussia Dortmud) dan Raphael Varane (Real Madrid) dalam jendela perpindahan.
Bagaimanapun legenda kelab, Neville percaya, Red Devils sepatutnya cuba mendapatkan Kane sebelum perpindahan ditutup, 31 Ogos ini.
“Kita boleh lihat Chelsea membawa masuk Romelu Lukaku. Kita juga dapat lihat (Virgil) van Dijk kembali dalam kesebelasan Liverpool, manakala Manchester City mendapatkan (Jack) Grealish dan cuba membeli Kane.
“Kalau mereka (City) berjaya mendapatkan Kane, ia akan menjadi masalah besar buat United.
“Saya rasa jika Kane menyertai pasukan ini, United akan mendapat 90 hingga 95 mata musim ini, jadi kenapa mereka tidak mahu berbelanja?
“Walaupun tanpa Kane, United tetap perlu mencari pengganti (Edinson) Cavani dan (Anthony) Martial musim depan.
“Martial tidak mampu untuk mengemudi jentera serangan United. Kontrak Cavani pula hanya tinggal satu tahun,” katanya. – AGENSI