PETALING JAYA: Mengakui terkejut dengan terjunan pertamanya yang buruk, Pandelela Rinong akur dengan kegagalan menaiki podium acara 10 meter platform Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menutup kempen di tangga terakhir pada saingan final semalam.
Pandelela menamatkan aksi di kedudukan ke-12 selepas kehilangan mata yang banyak pada terjunan pertama.
Dia sekadar mengutip 18 mata selepas melakukan entry kurang kemas di dalam air.
Kakinya terkena platform ketika melakukan terjunan dan secara tidak langsung mengganggu konsentrasi.
Meskipun cuba bangkit dalam terjunan kedua hingga kelima, namun ia tidak mencukupi untuk dia meraih kedudukan pingat atau kelompok lima terbaik apabila meraih 245.85 mata.
Katanya, semua berjalan baik semasa latihan tetapi tidak menjangkakan terjunan seperti itu akan berlaku pada hari pertandingan.
“Saya lebih gembira kalau dapat keputusan yang bagus tetapi saya terima dengan reda.
“Kali ini bukan tuah saya tapi saya sudah buat yang terbaik.
“Saya akan teruskan perjuangan pada kejohanan seterusnya, walaupun tidak tahu ke mana saya akan bertanding selepas ini,” katanya.
Penerjun China, Quan Hongchan, 14, mempamer aksi menakjubkan untuk meraih emas selepas mengumpul 466.20 mata keseluruhan.
Rakan senegaranya, Chen Yuxi (425.40) memenangi perak, manakala gangsa milik Melissa Wu dari Australia (371.40).