TOKYO: Apabila pasukan ekuestrian melakukan perjalanan ke Jepun untuk menyertai Sukan Olimpik mahupun Paralimpik 2020, urusan yang perlu ditempuhi mereka tidak murah serta mudah.
Dianggarkan 325 ekor kuda terlibat dalam dua temasya sukan terbesar itu, dan mereka diterbangkan dengan penuh ‘bergaya’ dari seluruh dunia membabitkan 19 buah kapal terbang serta 185 trak yang ditugaskan membawa ekuin serta kuda mereka ke Perkampungan Olimpik.
Bagi memastikan keselesaan mereka, kuda-kuda itu mendapat layanan ‘mewah’ seperti kemudahan kelas perniagaan, makanan dalam penerbangan, makanan ringan, malah dandanan. Kesemua kuda ini juga memiliki pasport mereka sendiri.
MEMILIKI PASPORT SENDIRI
Bagaimanapun seperti semua atlet Olimpik yang bertanding, Olimpian ‘berkaki empat itu’ juga terpaksa menanggung pelbagai kesukaran dalam perjalanan mereka disebabkan pandemik Covid-19.
Mereka wajib dikuarantin, mendapatkan lawatan doktor haiwan serta memiliki sijil kesihatan yang kesemuanya adalah prasyarat wajib untuk menyertai temasya.
“Melihat kuda-kuda ini tiba di Lapangan Terbang Haneda adalah peristiwa bersejarah, dan membuatkan ia lebih istimewa, ini bukan kuda biasa tetapi kuda Olimpik.
“Ia malam yang sangat luar biasa buat petugas lapangan terbang, terutama pasukan kargo. Kami dapat menyaksikan sendiri perjalanan hebat menuju ke Sukan Olimpik Tokyo 2020,” kata Pentadbir Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo, Takahashi Koji kepada The Chronicle of the Horse.
MAJORITI TERBANG DARI LIEGE
Menurut The Chronicle of the Horse, daripada 325 ekuin keseluruhan, 247 daripadanya terbang dari Liege, Belgium kerana lapangan terbang di situ mempunyai hotel khas untuk kuda.
Selepas melalui proses pemantauan kesihatan ketat selama 60 hari dan menjalani kuarantin wajib tujuh hari, kuda-kuda itu kemudian menaiki penerbangan Emirates SkyCargo Boeing 777-F – kapal terbang paling mesra alam, salah satu daripada lapan pesawat sewa khas menuju ke Lapangan Terbang Haneda.
Daripada makanan, air, peralatan dan kuda itu sendiri, puratanya mempunyai berat di antara 499 kilogram (kg) hingga 635kg setiap seekor. Membawa mereka ke Tokyo di awan biru adalah tugas yang tidak mudah dan memerlukan pesawat ‘gergasi’ Emirates SkyCargo Boeing 777-F yang mampu menampung kargo hampir 107,048kg bagi setiap perjalanan.
Pesawat pertama yang berlepas dari Liege ditugaskan untuk mengangkut hampir 1,360kg peralatan kuda – pelana, selimut, alat dandanan, kereta sorong dan seumpamanya, selain 11,793kg makanan, 1,440 liter air dan 36 penumpang kuda.
Kesemua kuda dibahagikan kepada 19 kandang kelas perniagaan yang sejuk dengan suhu kira-kira 15 darjah Celsius.
Pasukan pendandan dan doktor haiwan terbang bersama haiwan untuk memberikan keselesaan serta rawatan sepanjang perjalanan.
Sebagai tambahan kepada makanan biasa mereka, kuda-kuda itu ditawarkan berbagai makanan ringan dalam penerbangan seperti pisang, lobak merah dan jerami.
Setelah berhenti sebentar di Dubai untuk mengisi bahan bakar dan menukar krew, kesemua kuda tersebut akhirnya tiba dengan selamat di Jepun.
Ketika mereka turun di Lapangan Terbang Haneda, kuda-kuda itu dibawa dari pesawat menuju ke salah sebuah daripada 11 trak berhawa dingin. Petugas khas kemudian memandu ke arah barat laut Baji Koen, iaitu ‘penginapan’ mereka sepanjang temasya berlangsung di Ekuestrian Park.
Secara keseluruhan, ekuestrian yang membuka tirai pada 24 Julai lalu dan berakhir esok menawarkan enam pingat emas masing-masing dalam acara dressage (individu, berpasukan), eventing (individu, berpasukan) dan jumping (individu, berpasukan).