Laura bakar semangat Jason - Utusan Malaysia

Laura bakar semangat Jason

LAURA Kenny (kiri) dan Katie Archibald meraikan kejayaan memenangi pingat emas macara berbasikal adison wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, Jepun semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IZU, Jepun: Pencabar utama jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam acara keirin, Jason Kenny mendapat suntikan semangat menjelang perlumbaan hari ini selepas isterinya, Laura memahat sejarah merangkul ­pingat emas kelima ­Sukan ­Olimpik.

Gandingan Laura bersama Katie Archibald menghadiahkan kemenangan pertama Great Britain dalam acara madison wanita sepanjang sejarah Olimpik semalam.

Ini emas kedua negara itu dalam berbasikal trek selepas Matt Walls menjuarai saingan omnium lelaki kelmarin, kemenangan yang pastinya membakar semangat Jason untuk mempertahankan gelaran keirin lelaki, yang menjadi dambaan Azizulhasni.

Laura dan Archibald ber­saing hebat dengan pasangan Belanda, Amy Pieters-Kirsten Wild.

Begitupun, kemalangan yang menimpa pesaing mereka itu di pusi­ngan ke-70 dari 120 pusingan ke­seluruhan memboleh­kan gandingan Britain tersebut lebih selesa me­nuju garisan penamat.

JASON Kenny dan Laura bergambar dengan pingat perak yang dimenangi dalam acara pecut berpasukan lelaki serta kejar mengejar berpasukan wanita di Tokyo 2020.

Laura dan Archibald bergilir-gilir sejauh 250 meter tanpa memperlahankan henjutan, malah mengutip mata demi mata di 10 pusingan pecutan sehinggalah mereka tidak mampu lagi digugat apabila mengutip 78 mata.

Pasangan Denmark, Amalie Dideriksen dan Julie Leth membawa pulang perak dengan 35 mata, manakala gangsa milik Gulnaz Khatuntseva dan Mariia Novolodskaia dari Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) menerusi 26 mata.

Laura, 29, yang turut membantu pasukan kejar mengejar Britain meraih perak memena­ngi dua emas di Olimpik London 2012 menerusi saingan omnium serta kejar mengejar berpasukan dan dua emas pada temasya Rio 2016 dalam acara sama.

“Amat menakjubkan. Saya benar-benar gembira.

“Saya memang mahu ­sangat memenangi perlumbaan ini seumur hidup saya.

“Setiap kali beraksi dalam acara madison, ia akan memberi ketakutan kepada saya kerana keinginan untuk menang amat tinggi, akhirnya kami berjaya hari ini,” kata Laura. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya