PETALING JAYA: Bebas daripada kecederaan dan tiada tekanan, Abdul Latif Romly akan melakukan apa saja untuk mempertahankan pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang bermula 24 Ogos ini.
Atlet kelahiran Perlis itu yang akan berlepas ke Tokyo pada 21 Ogos ini menegaskan, dia sudah bersedia 100 peratus untuk memenangi kejuaraan dalam saingan lompat jauh T20 (masalah pembelajaran)
“Saya tak ada rasa tekanan sebab saya pergi sana hanya mahukan pingat emas.
“Saya ada sasaran sendiri. Kita kena ada keyakinan untuk mendapatkan apa yang kita inginkan.
“Sekarang saya sudah bersedia untuk berikan yang terbaik biarpun ada rasa sedikit berdebar, namun perkara itu boleh dikawal,” katanya.
Kali terakhir Abdul Latif, 24, beraksi dalam kejohanan antarabangsa adalah pada Para Dunia 2019 di Dubai yang menyaksikan dia meraih perak T20 dengan lompatan 7.24 meter (m).
Dia tewas kepada atlet Belanda, Ranki Oberoi (7.39m), manakala gangsa milik peserta Ecuador, Roberto Carlos Chala 6.88m.
Dalam kejohanan simulasi sebelum ini, Abdul Latif berjaya melakukan jarak lompatan lebih baik iaitu 7.68m.
Pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Abdul Latif memperbaharui rekod dunia dengan jarak 7.64 meter, 0.04 meter lebih jauh daripada catatan lamanya pada Sukan Paralimpik Rio, Brazil pada 2016.
Paralimpik Tokyo 2020 akan bermula dari 24 Ogos dan menutup tirai pada 5 September.