KOTA BHARU: Taktik menyerang menjadi taruhan Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) untuk berdepan Johor Darul Ta’zin II (JDT II) pada aksi Liga Perdana di Stadium Larkin, malam ini.
Pengendali KUFC Nazrulerwan Makmor berkata, KUFC akan mempertaruhkan barisan terkuat bagi memastikan pasukannya tidak pulang tangan kosong pada aksi itu nanti.
“Seperti kita tahu, JDT II mempunyai tempoh rehat yang panjang disebabkan tidak beraksi perlawanan lepasl”.
“Berbanding kami yang melalui perjalanan panjang pada minggu ini. Namun saya cukup bersyukur para pemain bebas dari kecederaan dan boleh bermain sepenuhnya menentang kelab Feeder dari Selatan tersebut,” katanya.
Nazrulerwan memberitahu, meskipun ‘tempang’ berdepan JDT II selepas kehilangan beberapa tonggak akibat penggantungan perlawanan namun KUFC tidak akan memberikan laluan mudah buat pasukan tuan rumah.
Katanya, KUFC percaya semua pemain yang ada akan diturunkan pada perlawanan itu mampu menggalas tugas dengan sebaik mungkin.
“Pastinya, kami ke sini (Larkin) untuk bermain seperti biasa dan tidak akan sesekali turun bertahan.
“Para pemain telah dingatkan supaya kekal fokus kepada perlawanan agar tidak tertekan diasak lawan yang dijangka turut menerapkan corak menyerang,” ujarnya.