KUALA TERENGGANU: Kejayaan mengatasi Sarawak United 1-0 kelmarin disifatkan sebagai kemenangan berharga buat Terengganu FC II (TFC II).
Pengendalinya, Badrul Afzan Razali berkata, pencapaian itu merupakan satu kebanggaan buat pasukan selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kesemua 14 perlawanan.
Bagaimanapun, dia mengingatkan barisan pemain agar tidak leka di zon selesa kerana saingan liga masih berbaki enam perlawanan lagi untuk merebut kejuaraan.
“Bukan mudah untuk berdepan Sarawak United yang dibarisi tonggak berpengalaman, malah pemain saya bermati-matian mengalahkan pelawat.
“Tentunya semua pasukan mahu meleburkan rekod cemerlang TFC II dan kami perlu menepisnya dengan mengekalkan rentak kemenangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Sementara itu jurulatih Sarawak United, E. Elavarasan belum mengibarkan bendera putih untuk bergelar juara liga dengan pasukannya masih memiliki dua perlawanan dalam tangan.
Katanya, Sarawak United berdepan misi wajib menang dalam aksi berikutnya bertemu Kelantan FC di gelanggang sendiri, Sabtu ini.
“Peluang belum tertutup buat kami dengan syarat kembali ke landasan kemenangan dan setiap perlawanan harus dianggap seperti aksi final,” jelasnya.