KOTA BHARU: Kelantan FC mengesahkan mereka layak ditabal sebagai jaguh negeri Che Siti Wan Kembang apabila merakamkan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Kelantan United pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan badi kekalahan tiga perlawanan berturut-turut yang dialami oleh Kelantan FC selepas tumbang kepada PDRM FC, Terengganu II FC dan Sarawak United FC.
Pada aksi pusingan pertama 6 April lalu, Kelantan FC menang 2-0 ke atas KUFC.
Sejurus wisel permulaan ditiup oleh Muhammad Almi Abdullah, pelawat lebih banyak mendominasi perlawanan dan peluang terbaik menembusi gawang gol Kelantan FC hadir pada minit ke-10 menerusi tandukan Mohamad Hariz Kamarudin, namun gagal menapati sasaran.
Penyerang kelahiran import KUFC dari Gambia, Gassama Alfusainey melepaskan peluang terbaik menghukum The Red Warriors (TRW) pada minit ke-33 apabila kuisanya tersangkut di kaki penjaga gawang tuan Mohd. Farizal Harun.
TRW kembali bangkit dan hampir memperoleh jaringan pembukaan pada minit ke-37, bagaimanapun tandukan Mario Arques sekadar melewati gawang gol pelawat yang dikawal oleh Mohamad Ramadhan Ab. Hamid.
Seminit berselang, Nurshamil Abd. Ghani yang bijak melepasi perangkap ‘offside’ tenang menoktahkan jaringan pertama TRW sejurus menerima hantaran rakan sepasukan Muhammad Syaqimi Rozi sekaligus mengecewakan Mohamad Ramadhan.
Bersambung babak kedua, pemain gantian Natanael Ringgo menggandakan jaringan menjadi 2-0 buat TRW pada minit ke-46 selepas rembatan kencang dari sebelah kiri kotak penalti KUFC melepasi jangkauan Mohamad Ramadhan di pintu gol pelawat.
Gassama kembali merapatkan jurang jaringan menjadi 1-2 apabila meledakkan jaringan pada minit ke-49 bagi menyuntik semangat kebangkitan KUFC.
Natanael ‘memadam’ api kebangkitan KUFC apabila meledakan jaringan ketiga TRW di minit ke-59 apabila rembatan kencang kaki kirinya dari dalam kotak penalti gagal diselamatkan oleh Mohamad Ramadhan.
TRW terus ‘bernafsu’ menambah jaringan pada minit ke-73 namun rembatan Arques berjaya diselamatkan oleh Mohamad Ramadhan.
Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan tiga menjadi milik TRW.