ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berehat panjang dalam saingan Liga Super tewas 2-4 kepada Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini malam ini.
Kedah bermula langkah kanan apabila membuka jaringan menerusi sepakan lambung pemain import, Kpah Sherman yang melepasi penjaga gol Selangor, Sikh Izman Nazrel Sikh Azman pada minit ke-23.
Tuan rumah ditimpa malang pada minit ke-28 apabila Renan Alves dilayangkan kad merah selepas menghalang percubaan pemain Selangor dengan menggunakan tangan.
Red Giants dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Ifedayo Olusegun untuk kedudukan 1-1.
Pada minit ke-30, Selangor FC berjaya menambah jaringan hasil hantaran lintang Hein Htet Aung yang berjaya ditolak pemain muda, Ahmad Danial Ahmad Asri menewasan penjaga gol Kedah, Mohd. Shahril Sa’ari.
Kedah bangkit selepas ketinggalan berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan
Anumanthan Mohan Kumar selepas mendapat hantaran sepakan penjuru oleh Rabin Ataya minit ke-43.
Pada separuh masa kedua, pasukan pelawat lebih banyak mengasak kubu tuan rumah untuk memburu tiga mata penuh di gelanggang lawan.
Kesungguhan pemain Selangor membuahkan hasil apabila Ifedayo berjaya menjaringkan gol ketiga selepas mendapat hantaran Htet Aung yang gagal dikawal pertahanan tuan rumah pada minit ke-74.
Pada minit ke-90, Ifedayo berjaya mendapatkan hatrik apabila menjaringkan gol keempat pasukannya.