ALOR SETAR: Selepas menumpaskan Penang FC dan Terangganu FC dalam dua aksi terakhir, Kedah mahu memburu kejuaraan hatrik dalam saingan Liga Super esok apabila berdepan Petaling Jaya (PJ) City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Menurut Ketua Jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, jadual padat selain perjalanan jauh yang terpaksa ditempuh pasukan itu tampak tidak memberi kesan kepada pemain-pemainnya.
Sebaliknya kata beliau, anak-anak buahnya dilihat cukup bersedia untuk berdepan pasukan kendalian jurulatih, P. Maniam, malam esok.
“Setakat ini Alhamdulillah, para pemain nampak kian cergas untuk kembali beraksi selepas perlawanan bertemu Terengganu, Sabtu lalu.
“Selepas bermain di Terengganu, kami tidak pulang ke Kedah sebaliknya terus ke ibu kota untuk berdepan PJ City. Kami melaksanakan proses pemulihan serta berlatih di sini dan nampaknya, barisan pemain sudah kembali cergas untuk beraksi malam esok,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Aksi menentang PJ City esok bakal menjadi perlawanan keempat ditempuhi Kedah dalam tempoh 13 hari selepas bertemu Selangor FC pada 13 Ogos, Penang FC pada 17 Ogos dan Terengganu FC pada 21 Ogos lalu.
Selepas tewas 4-2 kepada Selangor, KDA FC bangkit untuk mencatat kemenangan 4-1 dan 2-1 ke atas Penang FC serta Terengganu FC meskipun beberapa pemain utama berdepan penggantungan dan cedera.
Mengulas mengenai ketiadaan pertahanan kental, Rodney Celvin yang mengalami kecederaan bahu ketika menentang Terengganu FC minggu lalu, Aidil berkata, beliau sudah memiliki perancangan untuk memastikan barisan pertahanan Kedah mampu menampung asakan PJ City FC.
Jurulatih kelahiran Singapura itu bagaimanapun enggan mendedahkan siapa pemain pilihannya walaupun untuk menggantikan Rodney walaupun tumpuan ketika ini terarah kepada pemain muda, Loqman Hakim Marzuki.
“Saya ada perancangan tetapi tunggulah nanti untuk sama-sama kita lihat siapa yang akan bermain,” katanya.