TOKYO: Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley menegaskan kehadiran Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdus Sahrom di Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah untuk memenangi acara keirin, bukan pecut.
Katanya, acara pecut digunakan untuk mendapatkan rentak sebelum turun dalam perlumbaan keirin esok.
Menurut Beasley, berbanding negara lain, pelumba Malaysia mempunyai saiz paling kecil dan menyukarkan mereka mencabar saingan pecut.
Katanya, negara-negara Eropah serta Australia mendominasi acara itu kerana fizikal mereka yang besar dengan berat melebihi 100 kilogram (kg), memberi kelebihan untuk memecut laju menggunakan gear yang lebih besar.
“Pecut adalah melibatkan pecutan dan mereka yang bertubuh besar lebih mudah untuk berjaya dalam acara ini.
“Keirin berbeza, ia tidak bergantung kepada pecutan semata-mata, sebaliknya kuasa dan kelajuan.
“Di sini Malaysia cemerlang daripada segi taktikal kerana pecutan hanya digunakan sedikit dan ia membantu mengurangkan cabaran mereka bertubuh besar.
“Kami di sini untuk menang keirin dan kami berada di landasan tepat untuk melakukannya,” katanya.
Cabaran Malaysia dalam acara pecut individu berakhir semalam selepas Azizulhasni dan Shah Firdaus gagal mengesahkan tiket ke suku akhir.