Juara Olimpik mahu cari kerja tetap - Utusan Malaysia

Juara Olimpik mahu cari kerja tetap

SENA Irie tidak mampu menahan emosi selepas disahkan sebagai juara Olimpik menewaskan Nesthy Petecio dari Filipina kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Buru kejuaraan dunia dan kemudian cari kerja tetap.

Itu misi petinju sensasi Jepun, Sena Irie selepas meraih ­pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 kelmarin.

Lebih manis emas tersebut dimenangi di negara sendiri selepas pe­tinju berusia 20 tahun itu menewaskan Nesthy Petecio dari Filipina dalam kategori featherweight wanita.

Walaupun tewas pada pusingan kedua menerusi keputusan hakim tetapi Irie berjaya memastikan kemenangan hasil keputusan sebulat suara.

Kemenangan itu membuatkan Irie melompat gembira dan menitiskan air mata ke­gembiraan kerana ia prestasi paling menakjubkan dalam kariernya.

SENA Irie (biru) ketika menentang Nesthy Petecio dalam pertarungan featherweight wanita Sukan Olimpik Tokyo kelmarin. – AFP

“Saya ha­nya mahu memenangi pingat emas sekali lagi dalam Kejohanan Dunia, kemudian saya harus mula mencari kerja tetap.

“Saya mahu mengakhiri karier dengan kejayaan, jadi saya akan bersara (dari tinju) setelah tamat pengajian di kolej dan mahu bekerja ­untuk syarikat permainan video.

“Ini satu penghormatan buat saya berjaya memenangi emas pertama Jepun dalam tinju wanita.

“Saya bukanlah atlet berbakat, namun saya telah menunjukkan kepada wanita Jepun jika anda berusaha, anda mampu mencapai sesuatu,” katanya.

Irie juga berharap dengan emas yang dimenangi mampu menjadikan sukan tinju berkembang di Jepun.

“Orang mungkin meng­anggap wanita yang bertinju ganas.

“Bagaimanapun saya membuktikan, ia sama sekali tidak betul,” kata gadis yang mempunyai perperwatakan lemah lembut itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya