SHIZUOKA: Pecah tiga rekod dunia dalam tempoh dua hari membuktikan Jerman berada dalam kelas tersendiri ketika meraih pingat emas berbasikal kejar mengejar berpasukan wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.
Kombinasi Franziska Brausse, Lisa Brennauer, Lisa Klein dan Mieke Kroeger mencipta satu lagi rekod dunia dengan catatan 4 minit 04.242 saat (s) untuk memadam rekod yang dilakar dua jam sebelum itu.
Britain merangkul pingat perak dengan ketinggalan enam saat di belakang Jerman menerusi catatan 4:10.607s.
Keputusan itu mengecewakan Britain yang menyasarkan emas ketiga berturut-turut dan menamatkan pencapaian Laura Kenny yang cemerlang merangkul emas dalam setiap acara Olimpik yang disertainya.
Kenny sebelum ini memenangi acara kejar mengejar berpasukan dan omnium pada 2012 dan 2016.
Amerika Syarikat (AS) yang muncul juara dunia tahun lalu dijangka menjadi pencabar Britain, namun Jerman lebih mencuri tumpuan selepas mencatat rekod dunia pertama mereka, kelmarin.
Mereka menghampiri rekod berkenaan pada peringkat saringan semalam dan dua saat lebih pantas pada perlumbaan akhir untuk mengesahkan emas Olimpik pertama dalam acara itu.
AS memenangi gangsa menerusi 4:08.040s selepas mengenepikan Kanada. – AFP