JDT tunggu masa ‘bakar’ bunga api - Utusan Malaysia

JDT tunggu masa ‘bakar’ bunga api

PEMAIN JDT menjalani latihan akhir semalam dalam persiapan menghadapi Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super malam ini. – IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hanya tiga mata memisahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada bergelar juara Liga Super kelapan berturut-turut, dan Harimau Selatan sudah berkira-kira untuk mengadakan pertunjukan bunga api jika menewaskan Sri Pahang malam ini.

Kemenangan ke atas Tok Gajah membolehkan Harimau Selatan memperbaharui rekod miliknya sendiri dengan mengekalkan penguasaan Liga Super sejak 2014.

Melihat kepada rekod dan statistik, Pahang yang dibim­bing Dollah Salleh tampak sukar untuk menangguhkan hajat Johor menjulang kejuaraan lebih awal.

Tambahan pula, Sri Pahang tidak berada di prestasi terbaik selepas hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir, selain perlu beraksi di gelanggang keramat Harimau Selatan.

JDT yang dibim­bing Benjamin Mora sebaliknya berada pada tahap terbaik dengan memenangi lapan perlawanan Liga Super terakhir.

Skuad Harimau Selatan juga meledak 20 gol dan hanya membenarkan gawang mereka dibolosi dua kali.

Menurut jurulatih kece­r­gasan JDT, Jorge Alvarez, pemain mereka sudah berada di ‘awang-awangan’ kerana membayangkan trofi Liga Super hampir dalam dakapan.

Katanya, pemain terlalu gembira dan tidak sabar untuk menamatkan 90 minit permainan menentang Sri Pahang bagi ­merealisasikan impian dan sasaran sejak dari awal musim lagi.

“Sudah pastinya kejayaan mengesahkan kejuaraan Liga Super di laman sendiri menjadi memori sangat istimewa buat para pemain.

“Cumanya, suasana sangat berbeza kerana kejayaan gemilang itu tidak dapat dikongsikan dengan puluhan ribu penyokong di stadium disebabkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, pemain tidak boleh terlalu gembira hingga hilang fokus kerana sudah terbayangkan piala Liga Super.

“Sudah tentu mereka akan memberi tumpuan penuh bagi mengutip tiga mata untuk mengesahkan gelaran itu,” ujarnya.

Seandainya gagal me­ngalahkan Pahang malam ini, JDT masih ada dua lagi perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya