ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Liga Super musim ini selepas menjinakkan skuad Tok Gajah 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim di sini sebentar tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan JDT melakar sejarah baharu Liga Super apabila mempertahankan kejuaraan yang dimenangi buat lapan musim berturut-turut sejak memenanginya buat pertama kali pada 2014.
Jaringan hatrik Bergson Da Silva pada perlawanan menentang Sri Pahang FC itu melengkapkan malam gemilang buat skuad Harimau Selatan.
Ini adalah jaringan hatrik kedua buat penggempur berbisa kelahiran Brazil itu pada musim ini selepas menjaringkan tiga gol ketika menewaskan Perak di gelanggang keramat ini pada 31 Julai lalu.
Bergson membuka jaringan pada minit kelapan apabila menghukum kesilapan Zazrir Naim Abdul Rani yang melakukan hantaran ke belakang sebelum memperdaya tiga pemain dan meledak rembatan deras menewaskan penjaga gol, Daniel Wafiuddin Sa’dun.
Pada minit ke-30, JDT hampir menggandakan jaringan namun rembatan lencong Safiq Rahim dari luar kotak penalti sedikit tersasar.
Pada minit ke-41, Safiq bijak menghasil peluang gol dengan membuat lorongan mencari Bergson yang bersahaja membuat sepakan lambung menewaskan Daniel Wafiuddin.
Tiga minit berselang, Bergson sekali lagi menjadi igauan ngeri buat Daniel Wafiuddin yang melengkapkan hatrik setelah bijak bermain satu dua dengan Gonzalo Cabrera sebelum melepaskan rembatan rendah pada minit ke-44.
Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Dollah Salleh cuba bangkit pada perlawanan itu untuk sekurang-kurangnya memecahkan kebuntuan jaringan.
Namun begitu, percubaan demi percubaan yang dilakukan oleh Kenny Athiu dan Manuel Hidalgo gagal menewaskan penjaga gawang Farizal Marlias.
Mohamadou Sumareh dan Syafiq Ahmad yang diberikan peluang beraksi pada pertengahan babak kedua tidak berjaya membantu pasukan untuk menambah jaringan buat pasukan tuan rumah.
Kedua-dua pasukan saling melakukan serangan ke arah kubu lawan namun keputusan kekal ke wisel penamat.
Juara Liga Super itu perlu mengharungi baki perlawanan menentang Terengganu FC pada 4 September sebelum menamatkan saingan liga di laman sendiri menentang Kuala Lumpur FC pada 12 September ini.