ISN pernah disindir melabur besar untuk Azizulhasni - Utusan Malaysia

ISN pernah disindir melabur besar untuk Azizulhasni

AZIZULHASNI Awang selamat pulang ke tanah air semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Disindir ke­rana memilih untuk membuat pelaburan besar dalam sukan berbasikal, terutama Datuk Azizulhasni Awang, namun kini terbukti keputusan Institut Sukan Negara (ISN) sangat berbaloi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Dr. Khairi Zawi berkata, ia selepas jaguh berbasikal negara tersebut berjaya menukar pingat gangsa di Rio 2016 kepada perak pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap Azizulhasni bermula sekitar pertengahan tahun 2017, iaitu selepas Rio.

“Masa mula-mula ISN me­labur untuk Azizulhasni, saya kena sindir. Kenapa tidak ambil badminton atau terjun? Beliau (Azizulhasni) sudah berusia…tiada harapan, macam-macam.

“Tetapi bila beliau dah menang, semua senyap. Sebab kami dapat lihat tahap motivasi dan kemahuannya yang sangat tinggi.

“Tidak kisah badan dia kecil, usia semakin meningkat, yang penting kita guna sains sukan dan teknologi untuk mengatasi pencabar lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

AZIZULHASNI Awang menamatkan acara keirin Sukan Olimpik dengan memenangi pingat perak di Velodrom Izu. – AFP

Kelmarin, Azizulhasni atau terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman meraih pingat perak dalam acara keirin di ­Olimpik Tokyo, dengan Jason Kenny dari Great Britain mempertahankan emas.

Tambah Khairi, bukan semua pelumba bertubuh kecil seperti Azizulhasni boleh menggegarkan trek, sebaliknya ia juga bergantung kepada ‘sentuhan’ sains sukan dan teknologi selain daripada kemantapan program latihan serta motivasi atlet itu sendiri.

Jelasnya, sains sukan juga telah terbukti di Olimpik Tokyo apabila ramai pencabar berusia 30 tahun ke atas berjaya membawa pulang pingat dan tidak bergantung kepada usia muda semata-mata.

AZIZULHASNI Awang ketika bersaing dalam final keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Sebab itu dalam Olimpik ­Tokyo ada kejutan di mana atlet-atlet berusia 30-an masih boleh memenangi pingat. Dah macam-macam bentuk pemenang kita boleh tengok.

“Ia berkaitan sains sukan, psikologi, nutrisi, teknologi latihan semua sudah berubah. Orang tak kira dah. Yang penting atlet itu bersemangat untuk bertanding,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairi berkata, pelumba kelahiran Dungun itu kini tidak boleh lagi menggunakan ‘acuan’ sains sukan ke Tokyo 2020, sebaliknya memerlukan pembaharuan jika berlumba di Paris 2024.

“Untuk Paris 2024 kita kena fikir lain. Kita perlukan acuan untuk atlet berusia 36 tahun itu menjadi juara. Tidak boleh ulang acuan yang sama di Tokyo.

“Di Tokyo usianya 33 tahun, tetapi Paris, 36 tahun. Komposisi badan berubah dan sains sukan kena ikut kemampuan atlet, bukan atlet kena beradaptasi dengan apa yang kita ada,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya