LONDON: Daripada kapten yang disanjungi, Harry Kane kini menimbulkan kemarahan peminat dan pengurusan Tottenham kerana gagal muncul di sesi latihan pasukan dalam usaha memberi tekanan kepada kelab untuk melepaskannya kepada Manchester City.
Penyerang berusia 28 tahun itu sepatutnya melapor diri Isnin lalu, namun masih tidak kelihatan tanpa memaklumkan kepada pasukan.
Kane dikatakan kecewa dengan pengerusi Spurs, Daniel Levy yang keberatan menerima tawaran City biarpun kelab itu dikatakan bersedia menaikkan bayaran kepada 120 juta pound (RM707 juta).
Menurut media Britain, berang dengan kegagalan Kane hadir ke latihan selepas menamatkan percutian, Spurs mahu menjatuhkan hukuman terhadap kapten England itu sebaik saja dia kembali.
Bagaimanapun menurut portal sukan, The Athletic, Kane memutuskan tidak akan kembali berlatih atau bermain sehinggalah permintaannya untuk berpindah dipenuhi.
Sikap penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lalu lalu itu nyata menimbulkan kemarahan penyokong Tottenham yang selama ini dianggap hero.
Dalam tempoh 24 jam, pelbagai kencaman dan serangan dilemparkan terhadap Kane di media sosial, malah radio sukan, talksSPORT dihujani panggilan telefon daripada peminat yang meluahkan kekecewaan serta terkejut dengan sikap kapten mereka.
Legenda Liverpool, Jamie Carragher dan Gary Neville turut menegur Kane dengan menganggap cara penyerang itu mengendalikan isu tersebut menyebabkan dia tidak dihormati.
“Saya tidak setuju, ia tidak betul mengambil tindakan tidak hadir ke sesi latihan.
Kita semua tahu dia mahu pergi dan boleh faham mengapa dia bersikap begitu.
“Begitupun Harry tidak patut merosakkan namanya atau hubungan dengan penyokong yang selama ini amat menyanjungnya. Spurs akan kekal sebagai pasukannya,” kata Carragher.
“Dia sudah melakukan segala-galanya, jadi mungkin dia rasa sedikit bengang dengan keputusan kelab. Ada perkara buruk berlaku yang membuatkan dia mengambil tindakan begini.
“Apa pun, itu bukan alasan (tidak hadir latihan). Anda kena hormat rakan-rakan sepasukan.
“Anda masih perlu pergi dan duduk bersama mereka dalam bilik persalinan. Sudah tentu perkara ini akan mencetus perselisihan dengan mereka,” kata Neville. – AGENSI