PETALING JAYA: Jurulatih kebangsaan, Marzuki Zakaria kagum dengan persembahan Wiro Julin dan S. Suresh dalam penampilan sulung di Sukan Paralimpik apabila mencatat rekod terbaik mereka musim ini.
Kata Marzuki, beliau berharap kedua-dua mereka berupaya mengekalkan rentak permainan sebegitu dalam pusingan pertama kalah mati.
“Terdapat pemanah di Sukan Olimpik tempoh hari yang terpaksa pulang awal di pusingan kalah mati biarpun mereka memungut mata terbaik dalam pusingan ranking.
“Jadi saya harap, pemanah kita (Wiro dan Suresh) akan konsisten dalam pusingan kalah mati.
“Ini kerana di dalam sukan ini, pelbagai perkara boleh berlaku, lagi-lagi apabila berada di pusingan kalah mati,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Pemanah negara, Wiro Julin bakal membuat perhitungan dengan Bair Shigaev dari Rusia di pusingan 16 terakhir compound terbuka individu lelaki esok.
Atlet kelahiran Sarawak itu menempah pertemuan dengan Shigaev selepas menduduki tangga ke-16 daripada 36 peserta pada pusingan ranking terbuka dengan 673 mata, semalam.
Turut setaraf dengan Wiro, sandaran pingat emas negara, S. Suresh apabila menamatkan pusingan ranking terbuka di tempat ke-28 daripada 31 pemanah.
Atlet berusia 28 tahun dari Kedah itu mengumpul 579 mata sekali gus menempah pertemuan dengan Bato Tsydendorzhiev juga dari Rusia di peringkat 16 terakhir pada 3 September depan.
“Tentang persembahan hari ini saya berpuas hati. Cuma tak puas hati dengan marakah saya sahaja. Rasanya ini kali pertama saya duduk di ranking ke-28. Apa pun saya akan cuba buat yang terbaik 3 September nanti,” ujar Suresh.