PARIS: Menyedari Kylian Mbappe kini gigih mahu ‘melepaskan diri’ daripada mereka, Paris Saint-Germain (PSG), mengorak langkah memancing bintang bola sepak sensasi Norway, Erling Haaland.
Kelab kaya Perancis tersebut menawarkan 150 juta pound (RM865.38 juta) kepada Borussia Dortmund untuk memiliki penyerang berusia 21 tahun itu yang terkenal dengan julukan The Terminator.
Mbappe, 23, semakin hampir untuk memenuhi perpindahan ‘impian’ ke Real Madrid hingga memaksa pengendali PSG, Mauricio Pochettino mencari pelan ‘B’.
Haaland menjadi buruan kelab-kelab elit sepanjang jendela perpindahan musim panas dengan juara Eropah, Chelsea dan Manchester United antara yang mencuba nasib tetapi gagal.
Bagaimanapun, peluang untuk berganding dengan Lionel Messi dan Neymar di PSG mungkin tawaran yang sukar ditolak oleh Haaland.
PSG sudahpun menghubungi ejen pemain itu, Mino Raiola dalam usaha melakukan urus niaga sebelum jendela perpindahan ditutup, Selasa ini.
Sementara itu, Real dilaporkan menawarkan 170 juta euro (RM839 juta) dan 10 juta euro (RM49 juta) pakej bonus untuk membawa masuk Mbappe ke Santiago Bernabeu.
Pengendali Real, Carlo Ancelotti bagaimanapun menegaskan, dia bukan orang yang tepat untuk bercakap mengenai perpindahan bintang Perancis itu.
“Ia urusan kelab. Saya memahami kelab meminati pemain tersebut tetapi saya tidak boleh komen tentang perkara itu.
“Mbappe pemain yang hebat dan itu kenyataan tetapi saya hanya mahu fokus kepada pemain yang ada.
“Tentang harga pemain itu (Mbappe), ia terpulang kepada kelab dan saya tidak mahu bercakap tentang perkara berkenaan,” kata pengendali dari Itali itu. – AGENSI