MANCHESTER: Arsenal menjunam ke dasar Liga Perdana Inggeris selepas mengalami kekalahan ketiga berturut-turut, tumpas 0-5 kepada Manchester City sebentar tadi.
Biarpun gagal mendapatkan dua penyerang yang didambakan – Harry Kane dan Cristiano Ronaldo, City tetap ampuh membenam Gunners yang beraksi dengan 10 pemain dalam sebahagian besar perlawanan ekoran layangan kad merah kepada Granit Xhaka pada minit ke-35.
Xhaka nyata menimbulkan masalah kepada rakan sepasukannya selepas dibuang padang susulan kekasaran yang dilakukan ke atas Joao Cancelo.
Kekalahan terbaharu ini meletakkan kedudukan Mikel Arteta sebagai pengurus Arsenal ibarat ‘telur di hujung tanduk’, malah mereka menjadi pasukan kedua dalam sejarah Liga Perdana kalah dalam semua tiga aksi pembukaan dengan dibolosi sembilan gol selepas Wolverhampton pada 2003-2004.
Ferran Torres meledak dua gol, manakala Ilkay Gundogan, Gabriel Jesus dan Rodri masing-masing menokok satu gol untuk memastikan kemenangan bergaya City.
Ini kemenangan besar kedua berturut-turut dilakar penyandang juara itu selepas membelasah Norwich City minggu lalu. – AGENSI