TOKYO: Disember lalu, Greysa Polii kehilangan abang akibat Covid-19 sehari selepas perkahwinannya, dan itu menjelaskan mengapa dia amat beremosi ketika menghadiahkan pingat emas pertama Indonesia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 semalam.
Gandingannya bersama Apriyani Rahayu menjuarai badminton beregu wanita selepas mengejutkan pasangan No. 3 dunia, Chen Qingchen-Jia Yifan dari China 21-19, 21-15.
Indonesia sudah memenangi lapan emas menerusi badminton di Olimpik, namun ini kali pertama mereka memenangi acara beregu wanita.
Polii, 33, hampir menggantung raket lima tahun lalu selepas pasangannya, Nitya Krishinda Maheswari menjalani pembedahan lutut dan mereka sekadar lolos ke suku akhir di Rio 2016.
Dia dan Meiliana Jauhari kemudian kandas di peringkat kumpulan pada temasya London 2012.
“Semuanya tentang semangat dan komitmen. Ya…komitmen itu membawa anda mencapai impian.
“Di Olimpik London 2012, hati saya terluka. Ramai orang di Indonesia minta saya tidak berputus asa, mereka terus mempercayai saya,” kata Greysia.
Greysa memilih untuk tidak berhenti pada 2016 selepas jurulatihnya memberi harapan dengan menggandingkannya bersama Apriyani, yang 10 tahun lebih muda.
Apriyani melihat Greysa sebagai ‘role model’ dan menyifatkan, bekerja dengan pasangan veteran membuatkan dia menjadi seorang dewasa.
Sementara itu, pasangan Korea Selatan, Kim So-yeong-Kong Hee-yong meraih gangsa selepas mengalahkan rakan senegara, Lee So-hee-Shin Seung-chan 21-10, 21-17. –AFP