KOTA BHARU: Dua tonggak Kelantan United, Gassama Alfusainey dan Zafuan Azeman yang bergaduh dalam aksi menentang Perak II minggu lalu kembali berdamai.
Perkhabaran gembira itu dikongsikan oleh pihak pengurusan The Green Deers kelmarin, sekali gus memberi kelegaan kepada peminat.
Kedua-dua tonggak itu mengambil pendekatan tersebut bagi memastikan keharmonian pasukan berkekalan dalam usaha Kelantan United untuk kekal di liga selepas ini.
Gassama secara terbuka memohon maaf kepada pengurusan kelab, barisan jurulatih dan rakan-rakan sepasukan atas tindakan tersebut.
Katanya, permohonan maaf turut dizahirkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan semua pihak yang terlibat dan menyaksikan insiden tersebut.
“Saya memohon maaf kepada kelab dan jurulatih serta rakan sepasukan atas insiden berkenaan,” kata Zafuan.
Penyerang berusia 22 tahun itu berkata, dia bertekad memberikan komitmen bagi membantu Kelantan United menamatkan musim ini di kedudukan terbaik Liga Perdana.
Pada aksi menentang Perak II FC itu, kegagalan mengawal emosi menyaksikan Gassama terus dilayankan kad merah selepas bertindak mengasari rakan sepasukan Zafuan sebaik wisel tamat dibunyikan pengadil bertugas.