Fields kini stabil, sudah keluar ICU - Utusan Malaysia

Fields kini stabil, sudah keluar ICU

CONNOR Fields menerima bantuan perubatan selepas terlibat dalam kemalangan pada separuh akhir acara BMX Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Ariake Urban Sports kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Pelumba BMX Amerika Syarikat (AS) Connor Fields, yang mengalami pendarahan otak selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Sukan Olimpik 2020 kelmarin, kini telah keluar dari unit rawatan rapi (ICU), kata pasukannya, semalam.

Terdahulu, Fields terjatuh di selekoh pertama dalam perlumbaan separuh akhir dan menerima rawatan di tepi litar, sebelum dikejarkan ke Hospital Antarabangsa St. Luke di Tokyo.

“Doktor mengesahkan Connor mengalami pendarahan otak selepas terbabit dalam kemalangan di litar semalam (kelmarin).

“Selepas semalaman di ICU, doktor memaklumkan Connor sudah stabil tidak mengalami pendarahan lagi, malah tiada sebarang kecederaan lain ditemui.

“Connor sudah dikeluarkan dari ICU dan kini berada di hospital bagi memantau keadaannya,” jelas pasukan berbasikal AS.

CONNOR Fields (kiri) ketika beraksi dalam perlumbaan BMX Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. – AFP

Dalam pada itu, ibu Fields, Lisa Fields, berterima kasih kepada peminat di Facebook selepas memberikan kata-kata semangat kepada pemenang pingat emas di Olimpik Rio 2016 itu.

“Imbasan computerized tomography (CT) menunjukkan tiada lagi pendarahan berlaku dan dia tidak perlu menjalani pembedahan,” ujarnya.

Sementara itu, bercakap kepada USA Today, bapa Fields, Mike Fields berkata, ingatan anaknya itu masih baik dan mengenali mereka serta beberapa orang lain.

“Secara umumnya, dia baik-baik sahaja. Dia tahu di mana dia berada sekarang. Dia tahu tarikh lahirnya dan mengenali beberapa orang,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya