PETALING JAYA: Walapun tidak menyumbang pingat atau mara final, namun penyertaan skuad gimnastik artistik negara Sukan Olimpik Tokyo 2020 memberi inspirasi buat gimnas muda untuk
memasang impian beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.
Melayakkan diri ke pentas OIimpik buat kali pertama adalah pencapaian besar buat Farah Ann Abdul Hadi dan Jeremiah Loo.
Jika prestasi dijadikan ukuran, jurang gimnas negara dengan gergasi dunia amat jauh, mungkin tempoh lebih lama diperlukan untuk Malaysia mampu berada dalam kelompok pencabar pingat.
Farah Ann, 26, menamatkan aksi di kedudukan ke-68 daripada 80 peserta, manakala Jeremiah di tangga terakhir dalam kalangan 62 gimnas lelaki.
Bagaimanapun tidak mustahil, jika perancangan dan pelan akar umbi Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) lebih sistematik, daripada sekadar pencabar di Asia Tenggara, kita boleh meniti ke peringkat Asia bermula Sukan Asia 2022 seterusnya menuju ke Olimpik.
Jurulatih gimnastik negara, Ng Shu Wai berkata, Farah Ann dan Jeremiah tidak perlu kecewa kerana kemampuan tampil di temasya itu sudah memberi pengalaman berharga buat mereka selepas bertahun- tahun berusaha untuk layak ke Olimpik.
“Saya pasti berbangga dengan Farah Ann yang dapat menghabiskan rutin di sana tanpa sebarang kecederaan. Ini impiannya dan ia telah dicapai.
“Secara keseluruhan satu pencapaian yang bagus dan pengalaman berharga buat mereka,” katanya.