FAM nafi pernah bincang tambah pasukan Liga Super kepada 16 - Utusan Malaysia

FAM nafi pernah bincang tambah pasukan Liga Super kepada 16

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan, keputusan menambah jumlah pasukan dalam Liga Super kepada 16 berbanding 12 ketika ini tidak pernah dibincangkan.

Hari ini, tular sebuah video di media sosial yang mana Perak dikatakan cuba berunding agar liga musim depan dinaikkan kepada 16 pasukan seperti yang disarankan badan bola sepak dunia, FIFA.

Tindakan menambah pasukan dalam liga utama negara itu bermakna, kedudukan Perak yang kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’ dengan menduduki tangga kedua tercorot akan selamat.

“Merujuk kepada satu video yang telah tular di media sosial hari ini, FAM ingin menyatakan bahawa perkara tersebut tidak pernah dibincangkan langsung secara rasmi atau tidak rasmi oleh persatuan ini, sama ada menerusi Presiden atau Setiausaha Agungnya dengan mana-mana pihak lain.

“FAM juga ingin memaklumkan bahawa segala keputusan atau ketetapan bagi jumlah pasukan yang beraksi pada saingan Liga Super dan Liga Perdana serta penentuan jumlah pasukan yang turun dan naik bagi kedua-dua liga berkenaan adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan ahli-ahli lembaga pengarahnya,” kata Setiausaha Agung, FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam video berkenaan, seorang individu yang dipercayai Menteri Belia dan Sukan baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) ditanya apakah boleh format Liga Super diubah kepada 16 pasukan bagi membolehkan Perak terselamat dari terhumban ke Liga Perdana.

Ahmad Faizal membalas, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mempunyai sebarang kuasa dalam perkara itu, namun beliau sedia memanjangkannya kepada FAM dan MFL.

Beliau juga mengakui pernah berbincang dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Stuart, yang juga Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) MFL mengenai cadangan menambah pasukan Liga Super kepada 16.

Katanya, format 16 pasukan adalah selari dengan ketetapan FIFA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya