Dulu memecut ke kedai, kini pecut emas Olimpik - Utusan Malaysia

Dulu memecut ke kedai, kini pecut emas Olimpik

ELAINE Thompson-Herah memecah rekod 33 tahun Sukan Olimpik ketika memenangi pingat emas 100 meter wanita kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Membesar dengan meng­idolakan Merlene Ottey, Elaine Thompson-Herah gembira berjaya menyamai pencapaian idolanya itu dengan mempertahankan pingat emas 100 meter (m) wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 kelmarin.

Selepas merangkul emas kedua dalam Olimpik, malah memecah rekod 33 tahun temasya menerusi catatan 10.61 saat, pelari berusia 29 tahun itu bersedia memburu kejuaraan berganda dalam 200m, Rabu depan.

Jamaica menguasai saingan 100m wanita di Tokyo selepas turut meraih perak dan gangsa menerusi Shelly-Ann Fraser-Pryce (10.74s) dan Shericka Jackson (10.76s).

Ottey memenangi dua daripada sembilan pingat Olimpik terakhirnya di Sydney 2000 dengan gangsa dalam acara 200m dan perak 4x100m pada usia 40 tahun, namun gagal muncul juara di temasya terbesar dunia itu sepanjang kerjaya hebatnya.

Itu bermakna, Elaine sudah mengatasi pencapaian idolanya, dan insan paling gembira dengan kejayaan bintang Jamaica itu pasti neneknya, Hycenth Thompson yang mempunyai pengaruh besar dalam hidup pelari tersebut.

Hycenth menjaga pelari itu sejak berusia tujuh bulan dan ketika membesar, Ottey sering memberikan kegembiraan kepada rakyat Jamaica menerusi kejayaannya dan membuatkan Elaine mahu menjadi sepertinya.

“Ketika dia membesar, dia suka melihat Merlene Ottey dan dia sering katakan yang ‘bila  besar saya mahu jadi sepertinya’.

“Setiap kali disuruh ke kedai, dia sentiasa akan memecut,” kata Hycenth kepada akhbar Jamaica, The Gleaner.

Versi cerita Elaine sedikit berbeza dengan neneknya, namun paling penting memang dia sering berlari laju apabila disuruh membeli barang di kedai.

“Saya boleh ingat barang yang dipesan nenek, jadi saya terus memecut ke kedai runcit,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya