TOKYO: Pelari Jamaica, Shericka Jackson dikecam hebat apabila sekadar berjoging menuju ke garisan penamat yang menyebabkan dia tersingkir awal dari saingan 200 meter wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 semalam.
Dianggap prospek pingat di Tokyo kerana mencatat masa ketiga terpantas dunia tahun ini, selain meraih gangsa dalam acara 100m, pelari berusia 27 tahun itu kelihatan seperti kehabisan ‘gas’ beberapa meter menuju penamat dalam saringan kelima.
Perkiraannya yang silap bukan saja mengundang padah, malah kecaman selepas dia gagal mara ke separuh akhir dengan sekadar menduduki tempat keempat.
Hanya dua pelumba terbaik setiap saringan layak secara automatik dan Jackson yang sepatutnya boleh memenangi perlumbaan dengan mudah bagaimanapun membenarkan dua pelari lain memintasnya menuju ke beberapa meter terakhir.
Jackson gagal mengikut jejak dua rakan senegaranya dari Jamaica, Elaine Thompson-Herah dan Shelly-Ann Fraser-Pryce melangkah ke separuh akhir dalam acara pecut jarak jauh itu.
Wow. Just…wow. Shericka Jackson doesn’t automatically qualify for the women’s 200m semifinal after placing 4th in 23.26, the same time as Italy’s Dalia Kadari who placed third. #Olympics #Jam pic.twitter.com/sOkmS3iikE
— Ogun Size ? (@IamSeanAB) August 2, 2021
Tindakan peliknya itu dikritik hebat, malah ada peminat berang menggelarnya sebagai bintang Jamaica yang ‘bodoh’.
“Shericka Jackson hanya berjoging di sana. Mengapa ambil risiko begitu?
“Saya minta maaf kerana kedengaran seperti marah, tapi saya bagi pihaknya, atas nama jurulatihnya dan rakan-rakan sepasukannya merasakan perkara itu tidak perlu,” kata pengulas BBC, Steve Cram.
“Dia melihat senarai awal dan berfikir ‘oh, saya akan menamatkannya dengan selesa, tapi antara perkara yang tidak patut anda lakukan adalah memperlahankan (larian).
“Anda perlu berlari dari awal hingga penamat,” kata bekas juara 110m berpagar dunia dua kali, Colin Jackson. – AGENSI