LONDON: Arsenal dilaporkan ‘terdesak’ untuk mendapatkan Antonio Conte bagi menggantikan Mikel Arteta jika pengendali skuad Gunners itu meneruskan langkah sumbang pada musim baharu.
Arsenal tewas 0-2 dalam kedua-dua aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris bertemu pendatang baharu, Brentford dan aksi derby London menentang Chelsea kelmarin.
Menurut akhbar Telegraph, Arteta kini tertekan untuk mempamer peningkatan dalam lima perlawanan berikutnya sebelum rehat antarabangsa bermula Oktober ini.
Bekas pengendali Chelsea, Conte ‘tidak bekerja’ sejak Mei lalu setelah membimbing Inter Milan meraih gelaran Serie A pertama selepas 11 tahun.
Conte, 52, yang menyertai Inter pada 2019 dengan kontrak tiga musim bagaimanapun meninggalkan kelab itu setahun lebih awal selepas perselisihan faham melibatkannya dengan ahli lembaga berhubung perpindahan pemain.
Dalam perkembangan lain, Arteta memuji penyokongnya di Emirates yang cuba menyuntik semangat buat anak-anak buahnya ketika berdepan Blues, Ahad lalu.
“Saya dapat lihat banyak perkara positif bersama penyokong dan pasukan. Pada akhirnya, saya tidak melihat sebarang elemen negatif terhadap mana-mana pemain saya.
“Bagaimanapun ini hanyalah pendapat saya,” kata Arteta yang mencatat 20 kekalahan daripada 60 perlawanan sepanjang mengendalikan Arsenal di Liga Perdana. – AGENSI