City terdesak mahu Harry Kane - Utusan Malaysia

City terdesak mahu Harry Kane

HARRY KANE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pep Guardiola makin terdesak untuk mendapatkan bintang penyerang England, Harry Kane selepas Manchester City tumpul ketika tewas 0-1 kepada Leicester City dalam perlawanan Perisai Komuniti semalam.

Sepakan penalti Kelechi Iheanacho pada minit ke-89 memastikan juara Piala FA, Leicester memenangi trofi pertama yang ditawarkan sebagai simbolik bermulanya musim baharu bola sepak England.

Bakal membuka kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan menentang kelab yang diwakili Harry, Tottenham, Ahad depan, City perlu penyerang tengah untuk menajamkan jentera serangan.

Jack Grealish yang baru dibeli menerusi rekod Bri­tain, 100 juta pound (RM585 juta) dari Aston Villa menunjukkan aksi baik selepas dibawa masuk pada babak kedua, namun belum cukup untuk mengancam Leicester.

JACK Grealish (tengah) membuat penampilan pertama bersama Manchester City dalam perlawanan Perisai Komuniti.

Dengan penyaring terbanyak kelab, Sergio Aguero sudah me­ninggalkan City untuk menyertai Barcelona, manakala Gabriel Jesus tidak gembira di Etihad, The Citizens tampak sukar untuk mempertahankan kejuaraan tanpa tambahan ‘kuasa’ baharu.

Juara Eropah, Chelsea yang memiliki lebih ramai bintang di serangan mampu menjadi pencabar utama, selain Liverpool.

“Mereka memerlukan seorang penyerang yang bagus bukan saja untuk mencabar Liga Perdana, malah Liga Juara-Juara.

“Chelsea akan menjadi pencabar serius, terutama selepas kemasukan Romelu Lukaku,” kata bekas kapten Manchester United, Roy Keane kepada ITV.

Bekas pertahanan England, Matt Upson pula berkata, City menjuarai liga musim lalu selepas memperoleh gol menerusi gabungan beberapa pemain, dan Ilkay Gundogan menjadi penja­ring terbanyak menerusi 13 ­jaringan.

“Mampukah mereka melakukannya sekali lagi? Melihat perlawanan hari ini sukar.

“Mereka hanya boleh mengulangi pencapaian itu jika memiliki penyerang tengah yang berkualiti,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya