LONDON: Manchester City kini mengalihkan fokus mereka kepada usaha mendapatkan Jack Grealish dengan menawarkan 100 juta pound (RM586.79 juta), sekali gus bakal menjadikan bintang England itu sebagai pemain termahal Liga Perdana Inggeris (EPL).
Aston Villa yang terdesak untuk tidak kehilangan Grealish bagaimanapun bertindak menaikan gaji pemain sayap itu kepada 200,000 pound (RM1.17 juta) seminggu.
Pemilik Villa, Wes Edens dan Nassef Sawiris bersetuju untuk memecah gaji syiling kelab dengan menawarkan kontrak bernilai 10 juta pound (RM58.68 juta) setahun bagi mengekalkan Grealish.
Bagaimanapun City tetap bertekad untuk mendapatkan Grealish dan menjadikannya sasaran No.1 baharu mereka selepas rundingan dengan Tottenham membawa masuk kapten England, Kane menemui jalan buntu.
Pengurus City, Pep Guardiola amat berminat dengan pemain berusia 25 tahun itu dan kedua-dua kelab sudah memulakan rundingan bagi mencapai perjanjian yang akan mengalahkan rekod perpindahan EPL sebelum ini iaitu 90 juta pound (RM528.11 juta) ketika Manchester United menandatangani Paul Pogba dari Juventus pada 2016.
Grealish masih bercuti selepas beraksi buat England dalam Kejohanan Eropah (Euro), namun City sanggup menunggu sehingga dia kembali untuk mencapai perjanjian secepat mungkin sebelum kempen musim baharu bermula pada 14 Ogos.
Pengurus Villa, Dean Smith tidak melakukan banyak aktiviti dalam pasaran jual beli pemain pada musim panas kerana yakin Grealish akan kekal bersama mereka.
Begitupun, perkembangan terbaharu itu mungkin memaksanya menukar perancangan kerana tawaran yang dikemukakan City terlalu ‘menggoda’.
Grealish pula pasti sukar menolak peluang untuk bekerjasama dengan Guardiola dan memburu trofi utama, namun dalam masa sama masih berminat untuk berbakti bersama kelab yang telah dinaungi sejak zaman kanak-kanak.
– AGENSI