LONDON: Legenda Manchester United, Rio Ferdinand mendedahkan, Edinson Cavani sanggup memberikan jersi No. 7 kepada Cristiano Ronaldo.
Semalam, United mengesahkan pemenang Ballon d’Or lima kali itu akan kembali ke Old Trafford dalam masa terdekat selepas mencapai persetujuan dengan Juventus.
Ronaldo, 36, akan kembali ke pangkuan kelab yang ditinggalkan 12 tahun lalu untuk memenuhi impian beraksi bersama gergasi Eropah, Real Madrid.
Terkenal dengan julukan CR7 kerana dia sering memakai jersi No. 7 sepanjang beraksi bersama United dan Real, nombor berkenaan bagaimanapun kini milik bintang penyerang Uruguay, Cavani.
Ferdinand, antara watak penting yang memujuk Ronaldo untuk kembali ke pangkuan Red Devils mendedahkan, Cavani menawarkan No. 7 kepada bintang Portugal itu.
Bagaimanapun, sama ada dia dibenarkan memakai jersi berkenaan atau tidak belum dapat dipastikan kerana nombor tersebut sudah didaftarkan di bawah nama Cavani mengikut peraturan Liga Perdana Inggeris.
“Memikirkan Cavani akan menjadi penyerang kedua di belakang Ronaldo, sukar untuk dipercayai.
“Cavani, saya harus katakan dia seorang yang berjiwa besar! Dia nampak siapa yang akan pulang ke Manchester dan sanggup memberikan jersi No. 7.
“Pada akhirnya, masalah mungkin timbul kerana jersi berkenaan sudah didaftarkan. Mungkin Cristiano boleh guna No. 7, mungkin juga tidak…kita tunggu dan lihat,” kata Ferdinand. – AGENSI