TOKYO: Menjadi tumpuan utama untuk memenangi pingat emas Sukan Olimpik, namun beberapa bintang dunia ‘gugur’ lebih awal dan mengharungi temasya yang amat mengecewakan.
Berikut tujuh kekecewaan terbesar yang mengejutkan Tokyo 2020. – AGENSI
KENTO MOMOTA
(Jepun, badminton)
Sandaran utama tuan rumah untuk memenangi emas perseorangan lelaki. Pemain No. 1 dunia, Kento Momota bagaimanapun menutup kempen tanpa sebarang pingat.
Juara dunia 2019 dan 2018 itu tersingkir di peringkat kumpulan selepas kalah mengejut kepada pemain No. 38 dunia dari Korea Selatan, Heo Kwang-Hee.
NAOMI OSAKA
(Jepun, tenis)
BINTANG berusia 23 tahun itu diberi penghormatan untuk menyalakan obor Olimpik dalam upacara pembukaan dan dianggap ‘superstar’ pada temasya kali ini.
Tumpuan keterlaluan yang diberikan sukar ditanggung oleh Naomi Osaka selepas pemilik empat gelaran Grand Slam itu dikejutkan pemain No. 42 dunia, Marketa Vondrousova dari Republik Czech pada pusingan ketiga.
NOVAK DJOKOVIC
(Serbia, tenis)
SELEPAS menjuarai Wimbledon bulan lalu, iaitu Grand Slam ketiganya tahun ini, Novak Djokovic tiba di Tokyo bersama misi memburu gelaran ‘Golden Slam’.
Pemain No. 1 dunia itu bagaimanapun kalah di separuh akhir kepada bintang Jerman, Alexander Zverev yang memenangi emas. Dia juga tewas di tangan Pablo Carreno Busta dari Sepanyol pada perebutan gangsa.
KOHEI UCHIMURA
(Jepun, gimnastik artistik)
PERNAH memenangi tujuh pingat Olimpik, tiga daripadanya emas meletakkan Kohei Uchimura, 32, sebagai tumpuan utama di Tokyo 2020.
Kecederaan bahu menyebabkan juara all-around 2012 dan 2016 itu memilih untuk tidak mempertahankan gelaran dan hanya memberi tumpuan kepada palang sejajar. Dia bagaimanapun jatuh secara dramatik di hari pertama, gagal layak ke final.
JADE JONES
(Great Britain, taekwondo)
JADE Jones tiba di Tokyo bersama misi untuk muncul atlet taekwondo pertama memenangi tiga pingat emas Olimpik.
Atlet No. 1 dunia itu tersingkir seawal pusingan pertama dalam acara 57 kilogram selepas kalah 12-16 kepada Kimia Alizadeh yang mewakili Pasukan Pelarian Olimpik.
TRAYVON BROMELL
(Amerika Syarikat, olahraga)
KETIADAAN legenda Jamaica, Usain Bolt meletakkan Trayvon Bromell sebagai pilihan untuk memenangi acara 100 meter lelaki.
Dia ke separuh akhir ‘cukup-cukup’ makan, layak dari kedudukan keempat saringan menerusi catatan 10.05 saat dan kegagalan mencatat masa bawah 10s di separuh akhir, sekali gus gagal ke final.
JOHANNES VETTER
(Jerman, olahraga)
HANYA pingat emas menjadi sasaran Johannes Vetter ketika tiba di Tokyo. Dia tersingkir di peringkat awal selepas menamatkan saingan di tangga kesembilan daripada 12 peserta merejam lembing. Memulakan rejaman dengan 82.52 meter, namun dua lagi percubaannya dibatalkan.