PETALING JAYA: Melihat banyak kelonggaran mula diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada rakyat Malaysia yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengemukakan permohonan agar penonton juga dibenarkan memasuki stadium.
Semalam, Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan aktiviti dine in sudah dibenarkan di negeri-negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kemasukan penonton ke stadium bukan saja mampu menjana pendapatan kelab, malah memeriahkan liga bola sepak tempatan.
Katanya, MFL sudah berhubung dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku perantara bagi memastikan impian penyokong untuk kembali ke stadium dapat direalisasikan melibatkan mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin.
“Kita dapat lihat saingan liga-liga di Eropah seperti Liga Perdana Inggeris kembali meriah dengan kehadiran penyokong.
“Justeru, MFL juga tidak mahu ketinggalan untuk membuat permohonan kepada MKN menerusi KBS agar kelonggaran dapat diberikan buat peminat Liga M yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin.
“Kita sudah menyaksikan banyak kelonggaran mula diberikan kepada penerima dua dos suntikan vaksin selain percaya peratusan kehadiran mengikut kapasiti juga boleh dipertingkatkan.
“Justeru, saya harap permohonan ini dipertimbangkan oleh pihak kerajaan kerana ia bakal menggalakkan lagi individu yang masih belum menerima suntikan vaksin untuk berbuat demikian,” katanya.
MKN sebelum ini memberi lampu hijau buat penyokong kembali ke stadium dengan kapasiti terhad pada 1 April lalu, namun kelonggaran itu ditarik balik ekoran arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sejak Mei lalu.
Sejak beberapa minggu ini, MKN menerusi PPN telah memberi beberapa kelonggaran terutama di negeri-negeri fasa dua, tiga serta empat.