TOKYO: Galal Yafai menamatkan penantian 65 tahun Great Britain untuk memenangi emas tinju Sukan Olimpik selepas menjuarai kelas flyweight (48-52 kilogram) semalam.
Kali terakhir Britain menjuarai acara tinju dalam temasya sukan terbesar dunia itu adalah di Melbourne 1956.
Kejuaraan merubah nasib Yafai, 28, yang pernah bekerja sebagai pengangkat sampah di kilang kereta di England sebelum beralih ke tinju.
Begitupun dalam masa sama, dia meleburkan impian Filipina untuk meraih emas Olimpik kedua menerusi Carlo Paalam yang turut memiliki kisah silam yang sedih.
“Ini sesuatu yang ingin saya lakukan. Saya kini juara Olimpik dan rasa seperti berada di bulan.
“Enam tahun lalu saya mula bertinju dan kerja keras saya dibayar dengan kejayaan.
“Semua orang di Britain dan Birmingham memberi sokongan kepada saya. Saya amat terharu dengan kasih sayang mereka,” katanya yang menjadi petinju ke-19 Britain meraih emas Olimpik.
Paalam, 23, juga mempunyai kisah tentang sampah, di mana dia mencari ‘rezeki’ dari tempat pembuangan sampah akibat kemiskinan ketika zaman kanak-kanak.
“Pingat perak melambangkan apa yang saya lalui kerana kecil. Saya adalah pengutip sampah dan saya mengumpul sampah demi sampah untuk mencari wang.
“Saya tahu pingat ini diperbuat daripada bahan kitar semula, dan saya dapat mengenalinya kerana ia juga dibuat dari bahan buangan dan sampah,” kata Paalami.
Kata Paalam, tinju merubah kehidupannya daripada seorang ‘anak kecil jalanan’. – AGENSI