Azizulhasni, Shah Firdaus 'top up' tenaga - Utusan Malaysia

Azizulhasni, Shah Firdaus ‘top up’ tenaga

Azizulhasni Awang (kanan) dan Shah Firdaus Sahrom menggalas harapan menggunung rakyat Malaysia dalam acara keirin hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh rehat sehari semalam digunakan sepenuhnya Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom untuk menambah tenaga dalam misi memburu pingat emas acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selepas ‘mengorbankan’ perlumbaan pecut bagi menyimpan tenaga, Azizulhasni berkata rehat sehari itu digunakan untuk mengambil lebih banyak nutrisi, melakukan regangan­ serta mencatur strategi sebelum memulakan misi memburu pi­ngat keirin hari ini.

“Kami top up nutrisi, kena makan cukup, buat regangan dan banyak rehat kerana kami sudah menempuh dua hari perlumbaan yang hebat (pecut). Ia bagus walaupun penat tapi kami seperti membuka enjin untuk keirin dan saya pun tidaklah terlalu penat.

“Kami tahu harapan yang diberikan dan sebagainya tapi bila sudah berada di tempat pertan­dingan, saya bersedia untuk menang emas.

“Saya lihat peluang bawa pulang emas tinggi, apa yang saya harapkan saya dan Shah dapat masuk ke final. Itu langkah pertama,” katanya.

Saingan tampak terbuka, malah pelumba Belanda, Harrie Lavreysen dan Jeffrey Hoogland yang memenangi kedudukan 1-2 dalam pecut semalam mampu menjadi pencabar sekali lagi.

Shah Firdaus akan beraksi pada saringan kedua bersama Matthew Richardson (Austra­lia), Hugo Barrette (Kanada), Jack Carlin (Jerman) dan Sergey Ponomaryov (Kazakhstan).

Azizulhasni pula berenap di serangan ketiga bersama Sebastien Vigier (Perancis), Stefan Boetticher (Jerman), Patryk Rajkowski (Poland), Jean Spies (Afrika Selatan) serta Nicholas Paul dari Trinidad & Tobago.

Dua pelumba terbaik di peringkat saringan akan layak secara automatik ke suku akhir esok manakala yang kalah perlu melalui repechage untuk menempatkan diri dalam kalangan 18 pelumba terbaik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya