PETALING JAYA: Berbaki sehari sebelum memulakan cabaran pecut individu lelaki esok, dua jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom lebih teruja berbanding berdebar untuk beraksi di pentas Olimpik.
Bakal membuat penampilan keempat, pemenang pingat gangsa keirin di Rio 2016, Azizulhasni berkata, keterujaannya kini lebih hebat daripada biasa.
“Ini Olimpik keempat saya, sudah bersedia untuk perlumbaan dua hari lagi dan doakan yang terbaik buat saya Malaysia yang dikasihi,” kata Azizulhasni.
Pelumba berusia 33 tahun itu juga berkongsi tiga strategi yang boleh digunakan dalam acara keirin, Sabtu ini.
“Senko taktik yang menggunakan serangan awal dalam tiga pusingan awal atau dua setengah pusingan perlumbaan. Teknik ini tidak mudah kerana menggunakan tenaga banyak malah perlu betul-betul kuat.
“Makuri teknik yang menggunakan pecutan jarak sederhana di mana pelumba itu mula melakukan pecutan dua pusingan hingga ke pusingan terakhir. Teknik ini sering digunakan kerana melakukan pecutan 500m terakhir.
“Oikomi pula di mana melakukan pecutan satu pusingan terakhir atau pada garisan 200m di permulaan selekoh pertama. Mereka akan buat pecutan dan teknik ini perlu dilakukan dengan pantas,” katanya.
Sementara itu, Shah Firdaus, 26, yang membuat penampilan sulung Olimpik memohon doa rakyat Malaysia agar dia mampu mempamer aksi terbaik.
“Dua hari lagi untuk tidur sebelum memulakan Olimpik pertama saya. Kurangkan tumpuan kepada hasilnya, fokus kepada usaha, setiap masa.
“Insya-Allah, saya akan beri segala-galanya yang ada. Moga doa anda menemani saya,” katanya.