TOKYO: Pemegang rekod dunia, Ryan Crouser memperbaiki rekod Olimpik miliknya sendiri untuk memenangi acara lontar peluru lelaki hari ini.
Atlet Amerika Syarikat (AS) itu melakukan lontaran 23.30 meter (m) pada percubaan keenam dan terakhir, sekali gus rekod baharu Olimpik selepas lima percubaannya turut melepasi 22.52m catatan yang membolehkannya memenangi emas Rio 2016.
Crouser, 28, mengulangi kedudukan di Rio dengan rakan senegara yang juga juara dunia, Joe Kovacs meraih perak (22.65m ), manakala gangsa milik atlet New Zealand, Tomas Walsh (22.47m).
Selepas tewas kepada Kovacs dalam Kejohanan Dunia 2019, Crouser mampamerkan prestasi konsisten di Stadium Olimpik Tokyo apabila mendahului pencabar lain sejak lontaran pertama.
Sejurus mengesahkan kemenangan, dia mendapatkan beg dan memakai topi koboi di depan kamera televisyen sambil memegang kertas tertera: “Datuk, kami berjaya melakukannya, juara Olimpik 2020.”
Crouser dibesarkan dalam keluarga yang meminati olahraga. Ayahnya, Mitch bertanding dalam Olimpik Los Angeles 1984, manakala bapa saudaranya, Brian adalah olimpian dua kali dalam merejam lembing Olimpik. Sepupunya, Sam pula mewakili AS dalam merejam lembing di Rio.
Dia berkata, datuknya Larry memainkan peranan penting dalam meraih kejayaan di Olimpik apabila melatih Crouser sejak zaman kanak-kanak di belakang rumahnya.
Kemenangan Crouser di Tokyo sudah dijangka selepas dia mencipta rekod baharu dunia, 23.37m dalam Kejohanan Kelayakan AS, Jun lalu. – AFP