JASIN: Hidilyn Diaz dijangka pulang Kampung Kesang Tua, Jasin pertengahan bulan depan bagi membantu enam atlet angkat berat remaja negara yang kini giat menjalani latihan di garaj kereta yang menjadi tempat dia melakukan persiapan sebelum meraih emas di Sukan Olimpik Tokyo.
Juara angkat berat wanita kategori 55 kilogram (kg) itu juga mempunyai misi besar di Malaysia, membantu bekas atlet negara, Nur Atiqah Mohd. Sabri disenaraikan semula ke skuad kebangsaan khususnya menempatkan diri ke Sukan Komanwel Birmingham, tahun depan.
Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah berkata, Diaz sepatutnya pulang ke Melaka minggu ini tetapi terpaksa menangguhkan hasratnya kerana kes Covid-19 di negara ini yang tinggi.
“Dia memang tidak sabar nak balik ke Kampung Kesang Tua kerana ingin berkongsi kejayaannya meraih emas dengan penduduk kampung di sini.
“Setiap hari dia akan menghubungi saya dan menghantar mesej melalui WhatsApp bertanyakan mengenai perkembangan Covid-19 di negara ini kerana dia tidak sabar nak berjumpa saya dan masyarakat kampung,” ujarnya kepada Utusan Malaysia semalam.
Ahmad Janius berkata, Diaz berhajat menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung kerana menerima kedatangannya dan tinggal di sini selama 11 bulan sebagai persiapan ke Olimpik.
Katanya, atlet itu sudah lama menyematkan janji tersebut jika berjaya meraih emas yang diidam-idamkan,
“Memang dia ingin membalas budi penduduk yang sepanjang berada di sana banyak memberi sokongan kepadanya.
“Paling penting kata Diaz, dia ingin makan asam pedas yang menjadi masakan paling digemarinya sepanjang berada di sini,” ujarnya.
Diaz kini sedang berehat di negaranya selepas melakar kejayaan sensasi di Tokyo.