Atlet Australia rosakkan bilik di Perkampungan Olimpik, buat 'hal' dalam penerbangan pulang - Utusan Malaysia

Atlet Australia rosakkan bilik di Perkampungan Olimpik, buat ‘hal’ dalam penerbangan pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Atlet Australia merosakkan katil dalam bilik di Perkampungan Olimpik, selain membuat lubang di dinding sebelum meninggalkan Jepun, kata Jawatankuasa Olimpik negara itu hari ini.

Beberapa atlet juga menunjukkan ‘tingkah laku tidak dapat diterima’ dalam penerbangan pulang, kata pegawai berkenaan.

Bagaimanapun Ketua Kontinjen Australia, Ian Chesterman berkata, tiada tindakan tatatertib akan diambil kerana atlet tersebut sudah meminta maaf.

Dia turut menambah, kerosakan itu hanya ‘kecil’ dan tidak ‘sukar untuk memecahkan katil yang diperbuat daripada kadbod’.

Chesterman tidak menamakan atlet atau sukan yang mereka wakili.

Bagaimanapun Jawatankuasa Olimpik Australia (AOC) sebelum ini berkata, badan pentadbir bola sepak dan ragbi negara itu sedang menyiasat laporan mengenai tingkah laku pemain mereka yang dikatakan bergaduh dalam pesawat ketika pulang ke Sydney, Jumaat lalu.

Ian Chesterman

“Beberapa orang muda melakukan kesalahan, mereka telah meninggalkan bilik dalam keadaan yang tidak dapat diterima.

“Bilik-bilik itu bagaimanapun tidaklah rosak sepenuhnya,” kata Chesterman.

Ragbi Australia sebelum ini berkata, mereka sudah menjalankan siasatan selepas menerima laporan pegawai pasukan Australia mengenai tingkah laku ‘tidak dapat diterima’ oleh pemain ragbi dan bola sepak dalam penerbangan pulang dari Olimpik.

Ketua Eksekutif AOC, Matt Carroll bagaimanapun berkata, mereka tidak menerima aduan rasmi daripada syarikat penerbangan tetapi mengakui, ‘tingkah laku yang tidak dapat diterima mendapat perhatian kami’.

“Ini sangat mengecewakan, tetapi ragbi dan bola sepak (badan pentadbir) telah memberitahu saya bahawa tingkah laku seperti itu tentunya tidak dapat diterima dalam sukan mereka dan dengan tulus telah meminta maaf kepada pasukan Olimpik Australia.

“Para CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) telah membuat tindakan yang sewajarnya dan melaporkan kepada kami,” kata Carroll.

Skuad ragbi tujuh sebelah Australia mara ke suku akhir di Tokyo 2020 sebelum langkah mereka disekat oleh Fiji, yang memenangi pingat emas acara itu.

Pasukan bola sepak lelaki mereka pula tersingkir di peringkat kumpulan, manakala pemain bola sepak wanita tidak terlibat dalam insiden tersebut kerana masih bersaing di Tokyo dan akan menentang Amerika Syarikat dalam perebutan gangsa, Khamis ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya