BELFAST: Kepa Arrizabalaga muncul wira Chelsea apabila membantu juara Eropah itu menumpaskan Villarreal 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam saingan Piala Super UEFA di Belfast pagi tadi.
Pemain Sepanyol itu yang kehilangan tempat dalam kesebelasan utama sejak menyertai kelab menerusi rekod penjaga gol termahal dunia pada 2018, dimasukkan di hujung waktu tambahan oleh Thomas Tuchel bagi membolehkannya beraksi dalam penentuan penalti.
Arrizabalaga terkenal dengan insiden enggan dikeluarkan ketika Chelsea yang dibimbing Maurizio Sarri tumpas kepada Manchester City pada final Piala Liga dua tahun lalu.
Bagaimanapun, kali ini dia membalas kepercayaan jurulatihnya dengan menyelamatkan sepakan Aissa Mandi dan Raul Albiol.
“Ia bukan tindakan spontan. Kami berbincang mengenai perkara ini dengan penjaga gol selepas perlawanan pertama Piala FA menentang Barnsley.
“Kepa mempunyai peratusan lebih baik dalam menyelamatkan sepakan penalti, pakar analisis dan jurulatih penjaga gol menunjukkan saya data berkenaan. Kami bercakap dengan pemain bahawa perkara ini akan berlaku ketika saingan kalah mati. Menakjubkan apabila Edouard (Mendy) menerimanya.
“Telah terbukti Kepa lebih baik dalam penentuan penalti. Mereka pemain yang mampu beraksi dalam satu pasukan. Edouard tidak menunjukkan rasa bangga tidak mahu keluar padang. Dia gembira melakukannya untuk pasukan,” kata Tuchel.
Chelsea mengalahkan Manchester City di Porto untuk merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali kedua Mei lalu hanya lima bulan selepas Tuchel membimbing pasukan.
Hakim Ziyech meneruskan aksi mantap pramusim dengan meledak gol pembukaan. Dia menyudahkan hantaran lintang Kai Havertz, namun terpaksa dikeluarkan sebelum separuh masa kedua bermula selepas mengalami kecederaan bahu.
Pada babak kedua Villarreal yang muncul juara Liga Europa musim lalu selepas mengalahkan Manchester United menerusi penentuan penalti memperoleh gol penyamaan hasil jaringan Alberto Moreno.
Moreno melakukan hantaran satu dua dengan Boulaye Dia sebelum melepaskan rembatan menewaskan Mendy. – AFP