ALOR SETAR: Selepas dua minggu dilarang bermain dan menjalani kuarantin, jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak bimbang anak-anak buahnya kurang cergas apabila beraksi menentang Selangor dalam saingan Liga Super malam ini.
Menurut Aidil, ketika pasukannya dilihat berdepan kekurangan, Red Giants memiliki kelebihan kerana sudah mengharungi empat perlawanan secara berterusan sejak Liga Super bersambung dan mencatat kemenangan dalam dua perlawanan terakhir.
“Begitu pun saya masih yakin pemain akan menampilkan aksi terbaik. Apa yang penting mendapatkan mata dan jika kita memperolehi tiga mata penuh, itu adalah bonus buat pasukan.
“Ketika seluruh anggota pasukan terpaksa menjalani kuarantin kerana ada dalam kalangan pemain kami disyaki positif Covid-19, memang moral pasukan menurun.
“Selepas kami kembali berlatih, keadaan semakin baik malah moral pemain terus meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kedah seperti pasukan-pasukan lain sebelum ini berdepan cabaran untuk menjalankan aksi persahabatan berikutan peningkatan kes Covid-19 di sepanjang tempoh rehat Liga Super antara Mei hingga Julai lalu.
Ketika Liga kembali bersambung, Kedah sekali lagi diduga apabila dua pemainnya dijangkiti Covid-19 menyebabkan perlawanan terpaksa ditunda.
Mengulas mengenai pasukan lawan, Aidil berkata, tiga pemain Selangor perlu diberi perhatian bagi memastikan Red Giants tidak ‘bermaharajalela’ di tengah padang.
“Selangor pasukan yang bagus dan memiliki ramai pemain muda yang mampu menggerakkan serangan balas pantas.
“Saya fikir jika kita dapat merantai tiga pemain iaitu Ifedayo Olusegun, Oliver Buff dan Nor Hakim Hassan, kami akan memiliki peluang lebih baik untuk mencatat keputusan dimahukan,” katanya.