PARIS: Sergio Aguero dilaporkan mencari jalan untuk keluar dari Barcelona hanya dua bulan selepas penyertai gergasi bola sepak Sepanyol itu kerana kecewa dengan pemergian Lionel Messi.
Bekas penyerang Manchester City itu memberitahu peguamnya agar mencari jalan untuk menamatkan kontrak, menurut program Beteve’s ‘La Porteria’.
Bukan lagi rahsia, Aguero memilih untuk menyertai Barcelona kerana mahu bergabung dengan sahabatnya dalam skuad Argentina, Messi.
Hanya beberapa hari sebelum menyertai Barcelona, Aguero melewatkan proses menandatangani kontrak kerana mahu benar-benar memastikan Messi akan kekal bersama gergasi Catalan itu.
Aguero, 33, dilaporkan berang apabila mendapat tahu Messi akan pergi selepas dia diberi jaminan mereka akan bermain bersama dan isu kontrak Messi akan diselesaikan.
La Porteria melaporkan, masa depan Aguero di Barcelona ‘nampak tidak bagus’ ketika ini.
Sejurus selepas menandatangani kontrak bersama Barcelona, Mei lalu, Aguero memberitahu: “Sudah tentu saya berharap untuk bermain dnegan Lionel. Saya sangat mengenalinya, kami adalah sahabat.” – AGENSI