LONDON: Beberapa gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) mengenepikan kesan buruk ekonomi akibat Covid-19 apabila tetap berbelanja besar bagi menguatkan kempen masing-masing.
Esok, EPL akan dibuka secara rasmi dengan Arsenal bertandang ke Brentford untuk memburu tiga mata penuh.
Cuba bangkit pada musim baharu, namun Gunners belum cukup meyakinkan untuk diletak sebagai pencabar gelaran.
Sebaliknya tumpuan terarah kepada juara bertahan, Manchester City, Chelsea, Manchester United dan Liverpool.
Tottenham, Arsenal dan Leicester pula dianggap sebagai ‘pengacau’.
Selepas mengungguli liga dengan 12 mata mengatasi United musim lalu, City menguatkan jentera apabila memecah rekod perpindahan Britain dengan membelanjakan 100 juta pound (RM 587.27) untuk Jack Grealish.
Skuad bimbingan Pep Guardiola juga masih berusaha membawa masuk penjaring terbanyak musim lalu, Harry Kane.
Juara Eropah, Chelsea yang menewaskan City tiga kali musim lalu bersedia menjadi pencabar, terutama dengan kemasukan Romelu Lukaku pada harga 97.5 juta pound (RM571.97 juta).
Manchester United turut berhabis lebih 100 juta pound bagi membeli Jadon Sancho dan Raphael Varane.
Ibrahima Konate pula satu-satunya pembelian Liverpool setakat ini apabila membayar 36 juta pound (RM 211.19 juta) kepada RB Leipzig untuk bek tengah itu.
Siapa bakal bergelar juara? Setiap pasukan akan mengharungi 38 perlawanan bermula esok sehingga 14 Ogos untuk memburu trofi.